My Dream

My Dream

Thursday, March 31, 2011

310311-18

31 march. End of march for 2011. Tak pernah terlintas april yang bakal menjelma ini harus dilalui tanpa abg di sisi. Ya Allah, tak sangka begitu sekali rancangan yang telah Engkau aturkan untuk hambaMu yang lemah ini. Hanya sempat 2 kali meraikan hari lahirnya. yang ke-26 dan yang ke-27. Ya 27. Angka keramat bagi abg. Abg pergi meninggalkan segalanya pada angka itu. Ya Allah. Kelu. Sungguh tak dijangka. tetapi walau apa yg terjadi, aku redha. ):

sedih.
rindu.
sepi.

1 April bakal menjelma.

Selamat Ulang Tahun ke 28 abg.
*hanya doa sebagai hadiah buatmu abg. al-Fatihah.

Monday, March 28, 2011

280311

Alhamdullilah pagi tadi selamat sampai ke UPM setelah selama 3 hari berada di Pahang. Segalanya telah berubah. Ya segalanya. Segala impian dan jalan cerita saya telah berubah seluruhnya. Apabila kembali menjelajah page kawan2 di FB, airmata kembali menemani diri ini apabila terlihat majlis perkahwinan kawan2. Sesuatu yang tak kesampaian walaupun segala perancangan telah kemas di aturkan. Perasaan itu, hanya Allah Maha Mengetahui. Mungkin mudah bagi kalian semua memberi kata-kata semangat, namun berat mata memandang berat lagi bahu ini memikul. Jadi, hati telah membuat keputusan. Tidak mahu mendengar atau melihat apa2 yang berkaitan dengan pertunangan atau perkahwinan. Ia tahu, ia tak mampu untuk mendengar. Semua itu ketetepan yang harus ia terima walaupun pahit. Pahit akhirnya manis bukan. Insyaallah manis itu menyusul seiring dengan kesabaran. 

Beberapa hari lagi bakal menjelang ulang tahun kelahiran arwah. Perancangan untuk memberikan beliau hadiah telah dibuat namun manusia hanya mampu merancang Allah menentukan.

Ya Allah, beratnya ujianMu ini. Aku hanya mampu pasrah dan memohon keampunan serta keredhaanMu ya Allah

Disaat-saat hati mengalami penyakit yang serius ini, ada juga insan yang menjadikan kesedihan hati ini sebagai bahan jenaka. Semoga Allah memberikan kalian sedikit rasa belas kasihan pada diri kalian. 

Airmata menjadi peneman setia pada ketika ini. Ia mengalir tatkala sedih, marah, risau, gelisah dan gembira. Segalanya berubah. YA. Sungguh mudah ia mengalir. 

Tolonglah pergi jauh wahai kalian2 yang menjadikan kematian itu suatu bahan jenaka. Saya tidak mampu untuk bersahabat dengan kalian. Namun hati tidak menyimpan sebarang dendam terhadap kalian. Cuma itu sahaja, tolong pergi jauh. Hati ini telah berubah. Maaf jika menyinggung perasaan kalian. 

nota hati : Sahabat itu suci. Suci itu bersih. Bersih dari segala hasad dengki dan perkataan yang mengguris rasa. 

Thursday, March 24, 2011

240311-14

Semalaman berjaga. Mata segar dan tak boleh terpejam lena. pelbagai perkara bermain di fikiran. Jam sekarang hampir menunjukkan 7 pagi. Fikiran berkecamuk. Hati kecil terasa sesuatu yang aneh, berdebar-debar kerisauan tanpa sebab yang munasabah dan sesekali aimata menemani pagi yang hening. Aneh bukan? 

p/s : apa yang sedang berlaku atau bakal berlaku ni? Ya Allah, tenangkanlah hatiku ini. ):

Wednesday, March 23, 2011

220311-13

Pagi hari ini dimulakan dengan menjadi demo untuk CHM 3201. Terasa berat ja kaki ini untuk melangkah tetapi tanggungjawab yang dipikul lebih penting daripada perasaan hati anda. Otak masih sedang memikirkan kereta yang berada di bengkel berikutan kemalangan yang berlaku pada ahad lepas. "Macamnana nak p lab ni?" Alhamdullilah pagi2 lagi sahabat telah datang untuk menjemput kami untuk ke makmal bersama-sama. Tengkiu sahabat! )^_^(
Jam menunjukkan pukul 10 pagi. Hati semakin berdebar-debar. Keputusan SPM bakal diumumkan. Apalah nasih anak2 muridku. Semoga mereka berjaya memperoleh kejayaan seiring dengan usaha mereka. Setelah selesai menjadi demo, panggilan pertama dijawab. Daripada sepupuku, beliau memaklumkan keputusan SPM beliau. Agak OKla. tahniah ya Ilham. Hati masih berdebar-debar memikirkan nasib Alfie dan Lanna. Berjaya kah mereka? Kemudian, bersama-sama sahabat kami pergi ke bengkel untuk mengambil kereta. Alhamdullilah semuanya selesai. Lega seketika. Namun panggilan seterusnya menyebabkan hati sedikit gusar memandangkan keputusan anak murid tak mencapai apa yang saya jangkakan. Namun, mungkin ada hikmah di sebalik. jangan putus asa, usaha lagi buat semua yang bergelar anak muridku. (:

Mungkin tahun ini, diri yang bergelar cikgu perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan anak murid berjaya di masa akan datang. Insyaallah, saya akan berusaha ke arah itu.

p/s : kan bagus kalo abg ada di sisi pada saat ini, indahkan dunia. ):

220311-12

Rabu. 
Semoga hari ini adalah lebih baik dari semalam. Insyaallah. Segalanya adalah suratan yang telah tertulis, terimalah wahai hati. Perjalanan hidup masih lagi perlu diteruskan. Pelbagai persiapan masih lagi perlu dilakukan untuk dijadikan bekalan ketika diminta menghadap Illahi kelak. Setelah banyak menjelajah blog demi blog, motivasi demi motivasi, hati ini sedar ia perlu kuat, ia perlu tabah. Hidup ini masih panjang. Kehidupan adalah proses pembelajaran sepanjang hayat. Jadi belajarlah menerima wahai hati. 
"sesiapa saja yg melatih dirinya utk bersabar, nescaya Allah s.w.t akan memberikan kepadanya kekuatan sehingga mampu bersabar..." (al-insan:12)
nota hati : rindu yang teramat sangat kepada beliau. =(

Tuesday, March 15, 2011

150311-09

Selasa. Tiada ada yang istimewa, kehidupan yang mendatar sejak sebulan yang lalu. Hati mulai terdetik, salahkah jikalau hati ini tetap untuk menyimpan segala kenangan lama di dalam hati? Hati ini begitu keras untuk dipujuk supaya melupakan kisah lama. Hati ini tetap dengan pendiriannya bahawa dia, dia dan dia adalah selamanya. Adakah hati ini melakukan kesilapan? Seperti yang saya nyatakan dalam entry sebelum ini, dia mungkin insan biasa bagi anda tetapi tidak bagi saya. Tidak pernah saya jumpa insan sepertinya. Namun saya tak nafikan dia hanyalah manusia biasa yang tak lari daripada kesilapan. Namun hati ini dah terlalu menyayanginya. Terlalu sukar untuk melupakan bahkan semakin hari perasaan menyayanginya semakin mendalam. Jadi biarlah hati ini dengan caranya. Allah Maha Kuasa. Segalanya mungkin terjadi. InsyaAllah.Terima kasih teman atas nasihat. Luruskan jalan saya jikalau teman merasakan ianya bengkok. Semoga kita sama-sama menuju syurga abadi kelak. Amin.

150311-08

Alhamdullilah berjaya melalui hari ini (14March) dengan jayanya. 
Memulakan hari dengan mengajar. Hati lebih tenang. Terima kasih mak ayah. Terima kasih kepada teman yang sentiasa di sisi. Pada sebelah petang, saya mengunjungi pusat terapi bersama teman. Dan pada sebelah malam, pergi mengajar. Masih btemankan sahabat. Alhamdullilah sekali lagi kerana masih diberi kesempatan untuk merasai kehidupan sebagai seorang hamba dan diberikan kesempatan untuk berkenalan para sahabat yang sememangnya baik. Semoga Allah membalas budi kalian semua. Sesekali, fikiran masih terganggu. Masih teringatkan dia. Sentiasa. Tetapi hati lebih tenang bila saya mengingatkan Allah. Ya Allah, nikmatMu semakin dekat denganku. Kemanisan iman terhadapMu semakin meresap ke dalam jiwaku. Subhanallah, Maha Suci Allah. Mohon dipermudahkan jalan untukku. Doa adalah senjata orang mukmin. Senjata untuk diri yang lemah ini ya Allah. Semoga hari esok dapat dilalui dengan lebih baik, dikurniakan iman yang lebih kuat dan hati yang lebih tabah. 

Kepada abg,
Dah hampir sebulan pergi meninggalkan diri ini sendirian. Sedar ataupun tidak, diri ini masih mampu untuk menjalani hidup. Maknanya, diri ini kuat. YA, itu yang Allah aturkan untuk kita. Untuk abg dan juga diri ini. Sebagai jambatan menuju ke akhirat kelak.Perasaan kerinduan yang amat sangat memanglah perit. Tetapi itu keperitan dunia kan. Seringkali, hati bertanya, abg macamana kat sana? abg bahagia? apa perasaan abg menghadapi sakratul maut? YA, Allah, semoga abg berada pada keadaan yang paling baik di sisiNya. Diri ini, diri abg dan segalanya adalah milik Allah. Perasaan syg kita, perasaan cinta kita semua adalah milikNya. Bersyukurnya kerana dipinjamkan kenikmatan itu walaupun hanya sekejap. At least kita sempat merasa kan. 

nota untuk hati : sila tabah okeh farhana !

Sunday, March 13, 2011

130311-06

Alhamdullilah selamat sampai setelah pulang dari kampung arwah. Sebaik tiba di sini, hati mulai sebak. Saya sangkakan hati ini mulai sembuh. Tidak rupanya. Ya Allah. Buntu sangat sekarang. Sesungguhnya diri ini mengalami kejatuhan motivasi diri yang teruk pada ketika ini. Dah hampir sebulan dia pergi. Pergi untuk selamanya. Dia dah selamat di sana. Tetapi saya? Astafirullahalazzim. Lagi sebak rasa hati ini apabila melihat maknya. Aku perlukan petunjukMu ya Allah.

Firman Allah swt :
(185) Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah Al-'Imran)


Hati, belajarlah untuk tabah. Kematian itu pasti, cuma masanya adalah berbeda. Semoga imanku sentiasa dipelihara dan diri ini menemui kebahagiaan di akhirat kelak. Kebahagiaan yang dirasai di dunia ini hanyalah ibarat setitik air di lautan. Semoga diberi kesempatan untuk bertemu bersamanya di syurga abadi. Amin.

Saturday, March 12, 2011

120311-05

Jam menunjukkan 2:46 AM. 
Mata masih lagi segar. Hati masih lagi dalam keadaan sama. Sangat merindui dia. Kenangan demi kenangan silih berganti. Di setiap pelusok, selagi bernama UPM kenangan masih segar di ingatan. Indahnya ketika itu.. Bahagianya ketika itu. Kini baru saya sedar, dia sangat penting bagi saya, dia begitu istimewa di hati saya. Kata kawan saya, cuba lakukan sebaik mungkin di dunia ini, untuk kamu dan dia di akhirat yang abadi nanti. Ya! terima kasih teman. Terima kasih sahabat. Insyaallah. Saya memang ingin bertemu lagi bersama dia. Kali ini kekal abadi, semua itu tidak mustahil bukan? Allah itu Maha Mengasihi, Maha Mendengar. Betul kata Pait (my bro), masa dia sudah tiba. Jalan cerita dia sudah ada bukan, kita ini bagaimana pula nanti? Saya mmg mengerti setiap perkataan dan maksud kalian semua. Serius saya memahami. Cuma saya terlalu sedih, terlalu rindukan dia. Dia begitu sempurna bagi saya. Saya sayangkan kebaikan dan kelemahan dia. "Tetapi yang pergi tidak akan kembali lagi. Jangan putuskan hubungan dengannya wahai sahabat. Berdoa dan beramal jariah utuk dia. Itu sahaja yang dapat kamu lakukan jika kamu sayangkan dia. Dia sentiasa menunggu sesuatu daripada kamu." ujar sahabatku. 

Hati saya masih lagi terasa begitu dekat dengan dia. Di setiap langkah, masih lagi terasa dia ada di sisi. Seringkali termenung, dan sesekali air mata mulai membasahi pipi. Haruskan kaki ini melangkah jauh, lari seketika dari bumi yang penuh dengan kenangan ini? Dia seakan akan sudah mengerti bahawa dia akan meninggalkan diri ini buat selamanya. Segalanya telah lengkap ditinggalkan untuk kemudahan diri ini semasa ketiadaannya. Ya Allah, aku tahu aku mampu menghadapinya. Aku memerlukan pertolongan darimu ya Allah. Bantulah diri yang lemah ini ya Allah.

Friday, March 11, 2011

110311-04

Jumaat yang mulia dimulai dengan hujan membasahi bumi UPM.
Indah sekali hari ini jikalau ada dia bukan. Tapi itu sama sekali tidak mungkin berlaku. Pagi-pagi lagi hati ini dah mula bertanya, kenapa aku? kenapa dia? kenapa kami? pasti ada hikmah bukan. cuma hati ini terasa terlalu berat untuk menerima, mata ini terlalu payah untuk berkelip, mulut ini terlalu berat untuk bercakap, otak ini terlalu malas untuk berfikir, dan kaki ini terlalu berat untuk melangkah. ya melangkah ke hadapan. tapi bagaimana? terima kasih buat ahli keluarga yang tidak jemu untuk memberikan sokongan, begitu juga rakan2. kata mereka, saya harus kuat dan banyakkan bersabar. suma ini pasti ada hikmah. ya, saya mengerti maksud kalian semua. cuma saya sudah tidak mampu. saya sangat rindukan dia. saya betul2 perlukan dia. tetapi hati saya yakin Allah sedang menguji saya, Allah ada bersama saya, Allah lebih tahu segalanya.Saya dan dia hanya manusia biasa. Kami merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya. ya, cubalah. belajarlah untuk menerima wahai hatiku. Ya Allah jika ini adalah yang terbaik buatku, kau berikanlah petunjuk kepada ku ya Allah. Mudahkanlah hati ini untuk menerima, kuatkanlah ia dengan iman kepadamu ya Allah.

p/s : berfikir sejenak, ke manakah hendak membawa diri ini pada esok hari? sangat perit untuk membiarkan diri ini berada di sini lagi.

Thursday, March 10, 2011

100311-03

Khamis.
Semoga hari ini lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah. Ya Allah, sukarnya melaluinya tanpa dia.. Setelah 22 hari setiap malam masih tidur bermimpikan dia. Sebenarnya diri ini sangat rindukan dia, suara dia, nasihat dia, perhatian dia. Berikanlah kekuatan kepadaku ya Allah.

Entry kali ini saya ingin menceritakan kisah bagaimana kami saling mengenali antara satu sama lain. Mesti pelik bukan. Semuanya berlaku secara kebetulan dan semestinya telah diaturkan dengan cukup sempurna oleh yang Maha Kuasa. Disember 2008, saya secara kebetulan ingin menghantar sekeping borang di Pusat Sukan dan kehadiran dia membuatkan hati ini bertanya siapakah dia kerana saya tak pernah melihat kelibatnya sebelum ini. Dia melihat saya dengan suatu pandangan yang pelik (detik hati kecilku) dan disebabkan tiada seorang pun di dalam opis saya terpaksa menyerahkan borang tersebut kepada dia. Lantas dia seakan-akan terkejut dan terus bertanya nama awk farhana ke? "Ya Allah lelaki ini, tak reti baca ke, dah sah-sah kat borang tu ditulis Siti Farhana mestila nama aku farhana.Pelikkah nama aku?" detik hati kecilku. Akhirnya pertemuan yang singkat itu diakhiri dengan ucapan terima kasih.
Setelah itu, semester pun bermula. saya mulai sibuk dengan menghadiri meeting demi meeting. Dan setiap kali meeting di Pusat Sukan, kelibat dia mesti kelihatan. Saya tidak pasti siapakah dia, apakah namanya tetapi hati ini penuh dengan tanda tanya namum saya biarkan ia berlalu. Di setiap kejohanan sukan, pandai betul hati ini untuk menggerakkan mata supaya mencari dia. Pelik kan. Dan setiap kali bertembung, dia pasti akan cuba untuk bercakap dengan saya. Namun perbualan kami biasanya ringkas sahaja memandangkan hati ini yang gelisah setiap kali dia cuba menghampiri saya.
Mesti anda tertanya-tanya bagaimana kami mula menghubungi antara satu sama lain bukan? Kisahnya semua bermula di gelanggan tenis. Ya tenis.
*airmata tolong sabar ya! ):
Pada suatu petang, hujan yang lebat menyebabkan saya terpaksa menghubungi dia setelah pegawai yang in charge game tersebut memintaku menghubungi abg panjang. Abg panjang? Hatiku mula gelisah, lelaki itukah? oh tidak, terasa malu sangat untuk menghubungi dia walaupun hati ini tak sabar untuk mendengar suara dia.Lantas panggilan pertama pun dibuat ke handphone dia. "Owh sweetnya caller ringtone dia, sama dengan aku," Detik hati kecilku. panggilanku dijawab dengan begitu sopan santun sekali dan apabila saya memperkenalkan diri dia terus mengenali saya, baiknya lelaki ini, dengus hati ini lagi. 
Tenis,
Punca kami saling menghubungi dan saling mengenali dengan lebih rapat. Secara kebetulan, saya telah menyertai game ini bersama my best partner, noorain mohamad dan dia selaku pegawai pemantau tenis pada ketika itu. Di sini, dia mula mendekati saya. (: pernah suatu ketika, dia datang ke gelanggang saya untuk melihat saya bermain. Dan dia adalah arwah Mohd Khairul Azra yang telah pulang ke pangkuan Ilahi pada tanggal 16 Februari 2011. 

p/s : TENIS. Di sini, segalanya bermula. Sungguh indah pada saat itu. Andai masa itu boleh diputarkan....